LAPORAN TAHUNAN AKTIVITI
TIMBALAN PRESIDEN II (HELWANIS)
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM (PMI)
MANAGEMENT & SCIENCE UNIVERSITI (MSU)
SESI 2007/2008
KATA-KATA ALUAN
Bismillahirrahmanirrahim.. Segala puji bagi Allah, Penguasa Seluruh Alam. Selawat dan salam ke atas junjungan dan sanjungan Nabi Muhammad SAW, ahli-ahli keluarga baginda, para sahabat baginda (Radhiyallahu’anhum ajma’in) dan para pengikut baginda yang terus berjuang di atas landasan kebenaran Islam sehingga ke hari akhirat. Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan setengah mereka menjadi pembantu bagi yang lain. Mereka mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran.”
(At-Taubah:71)
Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah SWT, kerana dengan limpah rahmat dan pilihan dari-Nya jualah, hati-hati ini telah dipilih menjadi sayap kiri perjuangan untuk sama-sama bergerak dan berganding bahu di bawah payung Persatuan Mahasiswa Islam MSU bagi sesi 2007/2008.
Sepanjang setahun yang lalu, pelbagai program utama seperti Kursus Pra Perkahwinan Islam, Karnival Kelab PMIMSU, Kursus Sembelihan, Majlis TAdarus dan Khatam Al-Quran, Hari Memperingati AlQuds dan Tangisan Gaza, Kem Mujahadah Ramadhan hatta program-program bersifat sampingan seperti rehlah, aktiviti luar sesama ahli, ceramah agama dan sebagainya telah dijalankan oleh PMIMSU bagi memberi ruang kepada mahasiswa dan mahasiswi MSU/PTPL meningkatkan ilmu pengetahuan terutamanya dalam bab agama, dicelah-celah hiburan dan budaya hedonisma yang memuncak kini.
Ini tidak lain bertujuan untuk membawa kembali rakan-rakan dan masyarakat kita kembali kepada Islam yang sebenarnya, agar mereka dan diri kita tidak hanyut di tengah-tengah arus perdana yang mencabar ini.
Pihak Universiti pastinya mengimpikan mahasiswa/i yang berkualiti bukan hanya pada ilmu dan kemahiran semata-mata, bahkan nilai-nilai murni dan akhlak yang baik pastinya menjadi tonggak utama dalam memperkasa modal insan dalam diri. Mahasiswa MSU/PTPL seharusnya mempersiapkan diri dengan ilmu yang mencukupi, seterusnya menghiasi diri dengan akhlak-akhlak yang terpuji agar mampu menjadi role model terbaik kepada masyarakat. Di dalam perjalanan yang panjang ini, sememangnya pencarian itu harus bermula dari dalam diri, dan PMI adalah antara platform yang sangat baik untuk mahasiswa kembali mencari jati diri mereka..
Setelah satu sidang bersama-sama, saya beserta kepimpinan exco muslimat PMIMSU 07/08 merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada sahabat mahasiswa/I yang telah memberikan sumbangan idea, tenaga dalam gerak kerja islam terutamanya dalam membantu apa saja program PMI secara langsung mahupun tidak. Usaha ini menuntut pengorbanan yang tidak sedikit. Bahkan ia menuntut pada pengorbanan harta, masa, idea dan lain-lain demi memastikan risalah Allah SWT tersebar luas di bumi Allah ini. Justeru, untuk memastikan usaha ini berterusanlah , amat penting untuk kita sama-sama bergerak secara kolektif melalui wadah Persatuan Mahasiswa Islam Management & Science Universiti, bagi memastikan cita-cita murni ini tercapai dan dapat kiranya kita mewujudkan biah solehah di bumi kampus yang kita cintai.
- PENDAHULUAN
Secara umumnya, HELWANIS (Hal Ehwal Wanita) adalah satu cabang di bawah Persatuan Mahasiswa Islam MSU yang sebenarnya mewakili ahli-ahli muslimat. HELWANIS diwujudkan dalam organisasi supaya tiada masalah di kalangan jawatankuasa Muslimah untuk menyuarakan pendapat dan masalah kepada Majlis Tertinggi PMI. Portfolio HELWANIS lebih memfokuskan kebajikan dikalangan ahli-ahli muslimat dan menguruskan hal ehwal yang berkaitan dengan siswi Islam. Ia juga adalah ruang yang baik untuk menghubungkan kerjasama yang erat dan professional di kalangan sahabat ikhwah dan akhwat PMIMSU, sama ada dari pucuk pimpinan, dari kalangan ahli, malah sehingga kepada seluruh warga masyarakat MSU/PTPL yang terlibat dengan apa saja program dibawah kelolaan PMIMSU, khususnya yang melibatkan muslimat.
- BIDANG TUGAS TIMBALAN PRESIDEN II (HELWANIS)
Mengikut Fasal 19(C), Perlembagaan Persatuan Mahasiswa Islam MSU, Timbalan Presiden II atau Helwanis telah ditaklifkan dengan amanah seperti yang berikut:
1. Bertanggungjawab memimpin dan menguruskan hal ehwal siswi Islam.
2. Membantu Presiden dalam melaksanakan tugas terutama yang berkaitan dengan siswi Islam.
3. Berhak membuat keputusan mesyuarat bahagian siswi Islam dengan pengetahuan Presiden.
4. Menjalankan tugas-tugas yang diserahkan oleh Presiden.
- ORGANISASI HELWANIS
Secara umumnya, organisasi HELWANIS sedia ada merangkumi keseluruhan jawatankuasa muslimat PMIMSU yang terdiri daripada Majlis Tertinggi muslimat yakni (Timbalan Presiden II, Setiausaha II, dan Bendahari II PMIMSU), dan juga keseluruhan exco muslimat dan ahli-ahli muslimat PMIMSU. Cadangan untuk mewujudkan Jawatankuasa tetap HELWANIS bagaimanapun masih dalam perbincangan dan jika perlu insyaallah akan diteruskan dan diusulkan pada pimpinan yang akan datang bagi membolehkan ahli-ahli di luar pimpinan juga berpeluang untuk memegang taklifan sebagai Jawatankuasa tetap. Antara rasional cadangan ini adalah untuk mengelakkan pertindihan tugas antara exco muslimat PMI dan juga HELWANIS, yang mana mungkin lebih banyak perkara boleh dilaksanakan di bawah HELWANIS sekiranya pimpinan terdiri dari beberapa orang yang tidak memegang komitmen dalam pimpinan PMI sendiri.
- PENGLIBATAN HELWANIS DALAM PROGRAM PMI
Secara umumnya, segala program yang dijalankan oleh jawatankuasa Muslimat PMI adalah di bawah HELWANIS kerana HELWANIS itu sendiri mewakili Persatuan Mahasiswa Islam, malah ia tetap bekerjasama penuh dengan seluruh team pimpinan PMI termasuk sahabat muslimin. Semua Majlis Tertinggi dan Exco Muslimat yang menggerakkan PMI adalah Helwanis dan sinergi itu tetap berterusan selagi mana ia tidak bercanggah dengan matlamat dasar PMI. Walaubagaimanapun HELWANIS secara khususnya lebih menitikberatkan program berbentuk pengisian dan ukhuwwah di kalangan ahli muslimat, antaranya memastikan semua jawatankuasa Majlis Tertinggi, exco dan ahli-ahli PMI untuk dapat melibatkan diri dalam usrah muslimat, aktiviti-aktiviti yang hanya perlu melibatkan muslimat tanpa percampuran dengan muslimin, dan sebagainya. HELWANIS dengan ini telah bekerjasama dengan Exco Tarbiyyah dan Exco Dakwah & Kebajikan, juga exco Muslimat yang lain dengan mengadakan program usrah di kalangan ahli-ahli, juga program berbentuk riadah seperti rehlah untuk memanfaatkan ruang HELWANIS berkhidmat.
- RINGKASAN PERJALANAN AKTIVITI
AKTIVITI USRAH :
Naqibah (pembawa usrah) terdiri dari kalangan ketua-ketua jawatankuasa PMI dan mad’u (anak usrah) terdiri dari ahli-ahli PMI. Terlebih dahulu usrah pimpinan dilaksanakan secara berkala setiap minggu antara naqibah-naqibah bagi memantapkan kefahaman sedia ada. Turut diselitkan adalah usrah pimpinan bersama semua naqib yang pernah dibawa oleh Ustaz Sanusi sebagai usrah bersama dan juga penerangan Silibus Usrah PMIMSU. Usrah di kalangan ahli walaubagaimanapun masih dalam proses penambahbaikan kerana hanya mampu dijalankan mengikut kelapangan waktu dan kesesuaian ahli dan naqibah. Selain itu pelbagai halangan seperti jarak yang jauh, komitmen yang bertindan antara program akademik dan lain-lain dan juga kekangan masa yang tidak menentu, menjadi faktor utama penghalang usrah yang konsisten dikalangan ahli. Insyaallah hal ini dapat diatasi dengan penyusunan jadual yang lebih sistematik dan perancangan jangka panjang yang lebih tersusun.
AKTIVITI LUAR
Mengadakan rehlah atau outdoor activites di kalangan jawatankuasa pimpinan PMIMSU dan juga ahli-ahli muslimat, antaranya
- Rehlah di Taman TAsik Shah Alam
- Rehlah di Taman Tadisma Shah Alam
- Iftar (berbuka puasa) bersama sahabat-sahabat muslimat
- Solat berjemaah dan Bacaan Matsurat di Pusat Islam
- Jamuan Raya di Rumah Sahabat Muslimat PMI
- Menghadiri bersama Program-program luar seperti ceramah “Aku Terima Nikahnya” –Ustaz Hasrizal di Masjid Asy-Syakirin, “Cukup Wang Hati Tenang” di PKNS Shah Alam dan lain-lain
- Jualan T-Shirt Labuh Muslimah, Sleeve lengan, Buku “Aku Terima Nikahnya” dan lain-lain.
- ANTARA AKTIVITI-AKTIVITI YANG TERTANGGUH
Berikut merupakan beberapa aktiviti yang telah dirancang oleh HELWANIS, dan beberapanya telah disiapkan proposal oleh Exco masing-masing, tetapi tidak sempat dilaksanakan pada sesi ini kerana beberapa halangan. Insyaallah diharapkan aktiviti-aktiviti dapat dipertimbangkan dan diteruskan oleh pimpinan akan datang.
1)Program :“Cakna Muslimat”
Program Mingguan untuk Muslimat pada Setiap hari Jumaat
Cadangan/Tindakan : Timbalan Presiden II/Helwanis
Cadangan tempat dan masa : GO1 (Ketika Muslimin Solat Jumaat)
Cadangan Aktiviti : Majlis Ilmu yang ringkas (seperti ceramah tentang Hal Ehwal Muslimat, Fiqh Wanita dll), jemputan luar atau Ustazah di MSU/PTPL, belajar memasak, sesi belajar menjahit dan sebagainya
Sasaran: Semua muslimat/ siswi MSU/PTPL yang berkelapangan
2) Kempen Menutup Aurat
Tindakan: Exco Dakwah (muslimat)
-Ceramah “Hijab Itu Indah”
-Kempen “Anda Bijak Jauhi Zina”
3) Kursus Pengurusan Jenazah
Tindakan: Exco Perhubungan Luar & Logistik
-Belajar Tentang Pengurusan Jenazah sebagai satu tuntutan fardhu kifayah walaupun dari kalangan muslimat..
MENUBUHKAN TABUNG MUSLIMAT
Dana Tabung ini diperolehi dari hasil kutipan oleh barisan kepimpinan muslimat sendiri,untuk menjalankan program seperti rehlah, iftar , kos pengangkutan dan apa saja hal-hal yang berkaitan dengan aktiviti yang mahu dijalankan oleh muslimat. Untuk sesi ini ia lebih kepada infaq persendirian dan tidak melibatkan secara langsung akaun kewangan PMI. Bagaimanapun untuk pimpinan terdahulu, dana tabung turut diperoleh melalui hasi jualan kerepek dan lain-lain atas usaha sahabat-sahabat muslimat sendiri.
- CADANGAN PERANCANGAN UNTUK HELWANIS SESI BARU
Diharap jawatankuasa pimpinan Muslimat PMIMSU yang baru akan lebih banyak dapat memanfaatkan ruang HELWANIS untuk berbakti kepada seluruh warga siswi di MSU/PTPL dan memperkasakan lagi aktiviti-aktiviti untuk muslimat, agar lebih ramai lagi yang prihatin terhadap isu wanita, selari dengan kehendak Islam. HELWANIS juga adalah sayap kiri perjuangan PMIMSU, yang diharapkan dapat terus memberi sokongan dan kerjasama yang padu kepada seluruh pimpinan PMI samada muslimin mahupun muslimat. Semoga dengan kepimpinan baru, pergerakan PMI khususnya platform HELWANIS akan lebih tersusun dan teratur, dan sentiasa memperbaiki kelemahan yang ada dari semasa ke semasa.
PENUTUP
Akhir kata, saya memohon maaf atas segala kekurangan, kesilapan, dan kesalahan sepanjang memegang taklifan ini. Syabas dan tahniah kepada sahabat-sahabat seluruh kepimpinan PMIMSU 07/08 atas segala usaha yang telah diberikan. Yakinlah bahawa Islam tetap berada di tempat tertinggi, segala usaha yang dirancang, kami
Sekian, wassalam.
Disediakan oleh,
(SITI MUSLIHAH BT MOHD NOR)
Timbalan Presiden II/ HELWANIS
Persatuan Mahasiswa Islam MSU
Sesi 2007/2008
AGM kali ke-5 / 7 Februari 2009
0 comments:
Post a Comment